Assalamualaikum...
Lamanya aku tidak menulis di blog ni. Tetiba plak rasa nak kembali menulis selepas membuka blog ini.
Lagi satu hari kita nak berpuasa. Bersediakah anda? Kali ini entah untuk tahun yang keberapa aku akan berpuasa jauh diperantauan. Yang aku pasti tahun ini tahun kedua aku berpuasa di utara tanah air dan tahun pertama aku akan tanpa IBU tersayang yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 22 May 2012 yang lalu (al-fatihah). Tanpa ibu tersayang, aku masih tidak dapat membayangkan bagaimana untuk melalui ramadan yang akan tiba.
Minggu hadapan aku akan kembali ke kampung untuk berpuasa bersama bapa tercinta. Satu ramadan, aku tidak dapat bersama bapa tercinta atas urusan kerja. Juga tidak dapat aku bayangkan bagaimana bapa ku yang tercinta akan melalui ramadannya tanpa ibu ku tersayang disisi. Segalanya pudar kerana ini adalah kali pertama untuk segala-galanya.
Sesuatu yang tidak pernah kami semua bayangkan. Terfikir kesukaran dan kesedihan yang akan menjelma dipagi ramadan dan dipagi syawal terutamanya. Sidia, Ibu ku yang tercinta yang biasa menguruskan segala-gala persiapan untuk ramadan dan syawal telah tiada. Sekarang segalanya perlu diuruskan sendiri oleh bapa tersayang dan adik-beradik jika berpeluang dan ada kelapangan masa untuk menjenguk.
Terfikir untuk kembali ke kampung halaman untuk menemankan bapa tercinta, tapi apa kan daya, kampung ku tidak memerlukan pelajaran ku. Kampungku lebih memerlukan tenaga ku. Dan itu mungkin tidak mampu bagi diriku yang telah terbiasa dengan hidup yang menggunakan akal lebih dari tenaga.
Dari hari pertama ibu tersayang sakit (13 March 2012), sehingga sekarang aku masih memikirkan untuk kembali berada dekat dengan keluarga. Dan bilakah masa itu akan tiba, aku masih berdoa dan menunggu saat itu akan tiba. Tiba untuk aku menjaga satu-satunya orang tua ku yang memerlukan anak-anaknya dekat disisi.
banyak idea yang berserabut di minda minta disusun untuk ditulis disini, tapi aku tidak dapat menyusunnya menjadi satu ayat yang boleh membentuk cerita. Semakin dikenang, aku makin sedih dan tidak malu untuk aku katakan, ianya mampu membuat aku mengalirkan air mata. Seorang insan yang paling aku sayang telah pergi dan seorang lagi insan yang aku sayang sedang hidup kesorangan.
Tiada lagi gelak tawa, senda gurau yang menemaninya hidupnya sehari-hari. Yang tinggal hanya suara televisyen dan kenangan silam dirumah yang kini didiami seorang diri.
...
No comments:
Post a Comment